Wednesday, February 16, 2011

Perutusan Maulidurrasul saw 1432H


Rasulullah saw Pencetus Transformasi Ummah

1. Dunia ini pernah gelap gelita tanpa cahaya hidayah. Penghuninya hidup berpelitakan nafsu dan syahwat. Sang perkasa menindas marhaen sementara sikaya menguasai fuqara' . Manusia berpetualang dengan hukum rimba. Tiada nilai kemanusiaan jauh sekali nilai intergriti . Arak membuih merosakkan aqal, pelacur dilanggan meruntuhkan maruah. Penipuan dan penindas menjadi rutin bermasyarakat. Siapa licik dialah cerdik. Kualiti orang kenamaan mereka terletak pada ketajaman lidah yang mampu melukakan hati dan perasaan insan yang lain.

2. Dunia kala itu dijolok sebagai jahiliyah. Biar kaya, biar pandai, biar kuat, biar berkuasa penghuninya, namun mereka adalah jahiliyyah. Justeru mereka tiada pedoman dan terhindar dari petunjuk Tuhan yang Mencipta, agar hidup mereka sejahtera, harmoni, aman, selamat dan bahagia.

3. Kasih sayang dan kasihan belas Tuhan yang Maha Pencipta telah mengutuskan Muhammad saw sebagai Rasul ummah untuk membawa satu perubahan dasar dan prinsip yang utama dalam kehidupan manusia. Berbekalkan Kitab Petunjuk [Al Quranul Karim] dan kemuliaan peribadi [akhlak] , Rasul al Amin ini meredah cabaran dan halangan yang bertolak dari dendam Yahudi dan Nasara serta kebodohan golongan Musyrikin .

4. Rasulullah saw hadhir sebagai Duta Penyelamat dan Kasih sayang bersama agenda menyelamatkan ummah dari murka Allah swt sekaligus mengangkat martabat kemanusiaan mereka agar tidak lagi terperangkap di bawah tempurung jahiliyyah. Sekurang - kurangnya 10 agenda perubahan besar digerakkan oleh Rasulullah saw :

Pertama : Aspek Aqidah, dari syirik kepada tauhid

Kedua : Aspek Akhlak, dari fasiq kepada soleh

Ketiga : Aspek Ideologi, dari jahiliyyah kepada Islam

Keempat : Aspek Tamadun, dari hamba kepada daulat

Kelima : Aspek Sosial, dari bathil kepada haq

Keenam : Aspek Pemerintahan, dari zalim kepada adil.

Ketujuh : Aspek Ekonomi, dari monopoli kepada agihan

Kelapan : Aspek Politik, dari rakus kepada kesaksamaan

Kesembilan : Aspek Ilmu,dari jahil kepada membaca [alim]

Kesepuluh : Aspek Kekeluargaan, dari kebencian kepada kasih sayang [mawaddah]

5. Menggerakkan agenda perubahan ini, Rasulullah saw berdepan dengan 1001 tekanan dan ancaman seperti :

  • buang daerah
  • penjara
  • bunuh
  • sukar
  • jauh perjalanan.

Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah kalah sebaliknya mengorbankan segalanya demi melihat tercetusnya satu perubahan besar dalam hidup masyarakat jahiliyyah pada waktu itu.

6. Pelbagai pendekatan dan kaedah dakwah digerakkan oleh Rasulullah saw untuk meledak satu kebangkitan total dari ummat manusia agar berani dan nekad untuk bangkit menolak cara hidup 'lama" yang bergelumang dengan rasuah, riba, arak, judi, khurafat, penindasan, kezaliman, penipuan dan 1001 kepincangan hidup yang tidak berlandaskan sistem moral yang baik.

7. Rasulullah saw terpaksa menelan segala kepahitan berjuang, sungguhpun demikian Baginda saw tidak pernah mengalah justeru menyedari bahawa inilah sunnatullah dalam perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Nabi - nabi terdahulu telah melakar sejarah dalam episod perjuangan mereka yang matlamat dan cabarannya serupa untuk mentauhidkan Allah Jalla wa A'ala.

8. Sempena menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw, sayugianya kita menghayati ruh perjuangan Baginda saw dalam menggerakkan kesedaran dan membangkitkan keinsafan menolak regim jahiliyyah moden yang masih mengekalkan warisan jahiliyah kuno dalam corak kehidupan hari ini.

9. Mudahnya menafsirkan asas perjuangan Baginda saw ialah menentang mungkar dan menegakkan syariat dengan dakwah yang penuh hikmah. Sementara kemungkaran itu bukan sahaja pada keruntuhan moral seperti pergaulan dan seks bebas tetapi juga kemungkaran di dalam ekonomi yang memerangkap masyarakat dalam riba, rasuah, monopoli dan lingkaran kekayaan negara dikalangan pembesar. Kemungkaran juga berlaku dalam politik seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah rakyat.

10. Negara kita turut menerima kesan tempias dengan kemungkaran - kemungkaran tersebut. Oleh kerana terlalu lama membiarkan ia berlaku sehingga mengjangkau lebih 50 tahun sejak negara ini merdeka, akhirnya tempias itu telah membuatkan negara kita kini basah kuyup dengan kemungkaran tersebut. Ummat yang menyambut ulangtahun keputeraan Rasul saw mesti bangkit menjiwai dan melandasi perjuangan Rasul saw meledak gelombang perubahan total ke arah peradaban yang diredhai oleh Allah swt. Tidak hanya berselawat dan berarak dengan sampin dan tanjak yang tidak mempunyai nilai sebuah transformasi.

by Nasrudin Hassan on Tuesday, 15 February 2011 at 19:06
-Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat


Sunday, December 26, 2010

perjalanan diteruskan..

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah tsummalhamdulilah... lafaz yang tak sepatutnya lekang daripada lidah kita sebagai ucapan syukur kepada Allah di atas segala kurniaan Nya.

Lama sungguh tidak membuat catatan di ruangan ini. Entahlah mengapa sepanjang tiga, empat bulan ini saya tidak 'berjelira' untuk menaip panjang. Ada saje, saya menulis dengan pen. Tapi tetap tidak tertarik untuk menaip di papankekunci. Status saya di Facebook boleh dikatakan setiap hari ditukar. Entahlah, mungkin kerana di sana (Fb) tidak memerlukan tulisan yang panjang-panjang. Apa pun, syukurlah kerana Allah masih memberi kita kesempatan walaupun saban hari kita melupakan nikmat waktu lapangNya.

Baru-baru ini,sebelum saya megucapkan selamat tinggal kepada penduduk Malaysia, sempat saya berkunjung ke rumah beberapa orang guru. Saya memberitahu kepada mereka bahawa saya akan meneruskan kelana menuntut ilmu. Alhamdulillah, sempat saya mengutip beberapa butiran mutiara nasihat daripada mereka.


Suka untuk saya kongsikan dengan semua teman-teman di samping sebagai catatan buat saya yang selalu lalai dan alpa.
Kata seorang guru yang bernama Tuan Guru Jaliluddin B. Abd. Wahid ; dengan nada yang mendidik, beliau mengungkapkan sebuah pesanan dalam bahasa Arab :

اجتهد ولا تكسل


Maknanya ; " bersungguh-sunguhlah kamu, dan jangan kamu malas"

Yang kedua, kata beliau lagi sebagai penuntut ilmu, semestinya kita berusaha untuk

تطهيرل القلوب واجتناب المعاصي والمنكرات


iaitu; membersihkan hati, dan menjauhi sebarang bentuk maksiat dan kemungkaran.

Terang beliau, hati-hati yang gelap dan bergelumang dengan pelbagai dosa, sudah tentu susah untuk menerima ilmu yang suci. Seterusnya beliau menyebutkan tentang kisah Al-Imam Syafi'i yang diberi pesanan oleh guru beliau. Al-Imam Syafi'i mengadu kepada gurunya bahawa tahap ingatan dan hafalannya menjadi lemah,(tidak seperti biasa). Rupa-rupanya sebelum itu Al-Imam telah terpandang (secara tidak disengajakan) aurat perempuan. Lalu berpesan si guru tadi bahawa

العلم نور و نور الله لا يهدى للعاصي


ilmu itu adalah nur (cahaya), dan nur (cahaya) Allah tidak ditunjukkan/diberikan kepada si pelaku maksiat.

Dan yang terakhir beliau mengingatkan tentang sebuah hadith Nabi SollaLlahu 'Alaihi Wasallam yang mulia. Mafhumnya :

setiap manusia itu pasti akan binasa melainkan yang berilmu, dan setiap yang berilmu itu pasti akan binasa melainkan yang beramal dengan ilmunya, dan setiap yang beramal pasti akan binasa melainkan yang orang-orang yang ikhlas (dengan amalannya).

Apa sahaja perbuatan dan sebarang bentuk tindakan yang kita lakukan tidak akan sampai kepada Allah melainkan dengan adanya ikhlas.

Sebelum berundur, sempat saya dapatkan sebuah buku risalah karangan beliau sendiri. Buku nipis yang dicetak dengan tulisan jawi itu, bagi saya amat besar nilainya. Malu saya, apabila tuanguru yang tidak berapa sihat sanggup keluar daripada rumahnya untuk menyelongkar stor bagi mendapatkan kitab tersebut. Sememangnya beliau amat meraikan dan memberi galakan kepada anak-anak muda yang suka kepada ilmu.

Saya mendoakan agar semua para alim, para pendakwah serta para pejuang Islam sentiasa dipelihara oleh Allah, dipanjangkan umur mereka, dipermudahkan urusan mereka, diberi kesihatan yang baik serta diberkati usaha dan kerja mereka.


* Tuan Guru Jaliluddin B Hj Abd. Wahid adalah anak kepada AlMarhum Tuan Guru Hj Abd. Wahid yang menetap di Kg. Sg. Udang, Melaka. Sekarang beliau berkhidmat sebagai nazir di Maahad AnNuriah AdDiniah Sg. Udang Melaka.


Sunday, July 25, 2010

Hargailah Masa...!!! (2)




بسم الله الرحمن الرحيم



Kumpulan nasyid dalam video di atas adalah antara kumpulan nasyid yang tidak asing lagi di Malaysia. Ya, Raihan namanya. Nasyid yang mereka alunkan diadaptasi daripada salah sebuah surah daripada alQuran dan sebuah hadith nabi Muhammad SollaLlahu 'Alaihi Wasallam yang mulia.

Terdapat satu peringatan penting yang boleh kita ambil dalam nasyid yang mereka alunkan dalam video tersebut. Ia mengingatkan mengenai kepentingan masa dalam kehidupan seharian.

Sebagaimana yang telah kita bincangkan secara ringkas sebelum ini, terdapat satu surah khusus yang Allah Ta'ala peruntukkan diberi nama Al-'Asr yang bermaksud "masa". Jadi para pembaca boleh rujuk perbincangan tersebut pada artikel yang lalu.

Selain itu dalam nasyid tersebut turut dialunkan mafhum daripada salah sebuah hadith nabi yang mulia. yang mana dalam hadith tersebut nabi memperingatkan kita tentang beberapa nikmat yang besar daripada Allah kepada hamba- hambaNya.

Mafhum hadith S.A.W :

Rebutlah kamu akan lima (perkara) sebelum (datangnya) lima (perkara):

Hidupmu sebelum matimu,sihatmu sebelum sakitmu,waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu,masa mudamu sebelum masa tuamu, dan kayamu sebelum miskinmu.

Sesungguhnya, amat benarlah peringatan yg diberitahu oleh kekasih kita S.A.W.

Baginda selaku munzir (yg memberi peringatan) merangkap pakar motivasi sentiasa mengingatkan kita tentang kepentingan mensyukuri nikmat tuhan di samping selalu menggalakkan umatnya berlumba-lumba mengejar ganjaran akhirat. Ganjaran yang hakiki yang dijanjikan oleh Allah.

Marilah sama-sama kita menghayati alunan nasyid di atas. Moga-moga kita lebih teliti dalam menyusun atur masa sepanjang hidup kita.

“Ya Allah, jadikan kami di kalangan orang-orang yang beruntung di akhirat kelak, dan jangan Kau jadikan kami di kalangan orang-orang yang rugi..”

Wednesday, June 16, 2010

Bulan Rajab

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kita panjatkan syukur kepada Allah di atas nikmatNya yang masih lagi Dia sudi untuk pinjamkan kepada kita. Antara nikmat yang perlu kita syukuri adalah kesempatan yang diberi olehNya kepada kita, iaitu dapat lagi bertemu dengan bulan yang mulia.

Ya, tak lain dan tidak bukan, sedar atau tidak, kita sedang berada di dalam bulan Rajab. Rajab adalah nama bagi bulan yang ketujuh dalam kitaran kalendar hijriah. Bulan Rajab adalah antara bulan-bulan yang penuh dengan kelebihan dan kemuliaan.

Bulan haram

Firman Allah S.W.T yg bermaksud:
. Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram . Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.

(surah At-Taubah : 36)
Dalam ayat di atas, Allah memberitahu kepada kita tentang bilangan bulan dalam setahun, iaitu sebanyak dua belas bulan.Sesungguhnya bilangan ini telah diatur dan ditetapkan oleh Allah mengikut ketetapan putaran bulan sepertimana yang kita ketahui hari ini. Daripada bilangan 12 bulan itu, empat daripadanya diisytihar sebagai bulan Haram oleh Allah.

Bulan-bulan tersebut ialah tiga bulan yang berturutan iaitu bulan ZulQaedah, ZulHijjah dan bulan Muharram. Manakala bulan yang satu lagi iaitu bulan Rajab.

Apakah yang dimaksudkan dengan bulan Haram?


Bulan Haram bererti Bulan yang mempunyai Kehormatan dan dimuliakan oleh Allah. Ianya diberi keistimewaan oleh Allah berbeza daripada bulan-bulan yang lain. seperti yang kita tahu, Allah berhak dan berkuasa memberi kemuliaan bagi mana-mana makhluknya yang Dia kehendaki sepertimana dia telah memuliakan dan memberi kelebihan kepada para nabi yang terpilih daripada kalangan manusia-manusia lain. Begitu juga halnya dengan masa dan tempat.

Diperingatkan kepada kita bahawa pada bulan haram ini, kita perlu menjaga diri kita dan tidak menzaliminya. Ini kerana dinyatakan kepada kita bahawa sebarang perbuatan maksiat padanya akan mendapat azab yang lebih dahsyat, dan amalan taat akan diberi ganjaran yang lebih besar. Larangan daripada melakukan perbuatan haram pada bulan ini, sekalipun tetap haram pada bulan-bulan yang lain,namun, Allah telah mengeraskan lagi tegahan pada bulan haram kerana nilai kemuliaan yang ada pada bulan ini.

Isra' dan Mi'raj.

Selain daripada kelebihan kemuliaan, bulan Rajab juga istimewa kerana sempat terakamnya beberapa peristiwa besar dalam Islam antaranya ialah Isra’ dan Mi’raj.

Peristiwa ini begitu besar sehinggakan Allah merakamkannya di dalam Al-Quran. Iaitu pada ayat pertama dari Surah Al-Isra’. Dalam peristiwa ini, nabi kita SollaLlahu 'Alaihi Wasallam telah diperjalankan oleh Allah pada waktu malam dari MasjidilHaram terus ke MasjidilAqsa. Kemudian Baginda telah dibawa naik ke langit untuk menerima kewajipan rukun Islam yang kedua.

Perang Tabuk.

Bulan Rajab juga turut sempat merakamkan satu peperangan besar dalam sejarah Islam. Perang Tabuk telah menyaksikan betapa para sahabat diuji kekentalan iman mereka. Tahap ketaatan mereka terhadap seruan jihad betul-betul teruji.

Ini kerana, semboyan peperangan dibunyikan di kala penduduk Madinah mengalami musim panas dan musim buah yang menyeronokkan.

Plot-plot penting dalam peperangan ini turut terakam dalam kitab Al-Quran antaranya, mengenai suasana peperangan, pendedahan kejahatan kaum munafiqin, kelebihan golongan yang berjihad dan ikhlas, penerimaan taubah terhadap mereka yang beriman dan tulus, juga mengenai mereka yang menyertai peperangan dan yang menarik diri

Pengiktirafan

Maka, tidak hairanlah mengapa bulan Rajab dipandang besar di sisi syara’. Dalam sebuah hadith yang dikategorikan Dhoif , Nabi bersabda:
“Rajab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku, dan Ramadhan bulan ummatku.”
Dan begitu juga hadith2 lain yang menyebut tentang kelebihan beramal dalam bulan Rajab.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan kita terutama pada bulan-bulan yang mulia ini, di samping menjaga perkara-perkara fardhu yang wajib kita tunaikan. Mudah-mudahan kita juga sempat dipertemukan oleh Allah dengan penghulu segala bulan iaitu Ramadhan yang penuh keberkatan.

“ Ya Allah, berkatilah kami di sepanjang bulan Rajab dan Sya’ban, kurniakanlah kami untuk sampai bertemu bulan Ramadhan.”

Sunday, May 30, 2010

m0tivasi

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : Ustazah Zakiatun Nazneen Bt. Abdul Hannan
Dengan nama Allah.

Salam wbt.

Maka berkatalah al-fadhil al-ustz Mohd Mumtaz b. Harun (pengisi slot motivasi tazkirah Jumaat di Dwn Zajlatul Abidah):

'' Jangan diterima pendapat orang bulat-bulat walau wajah orang itu sememangnya bulat, dan jangan ditolak pendapat orang itu mentah-mentah walau sememangnya dia seorang budak mentah ''

Bercerita mengenai cermin diri dalam proses memperbaiki diri, seharusnya cerminan itu datang dari orang yang mengenali diri seseorang dan seharusnya rapat dan jujur agar di situ ada ketelusan dan tiada keterikatan atau 'menjaga hati' ketika memberi pandangan. Jangan dinilai perkataan seseorang itu kerana tuan kalam itu, tetapi nilailah buruk baik kalam itu demi memperbaiki sahsiah diri. Ada pun sesungguhnya, kita akan mampu merasai dan menilai kalam-kalam cerminan itu; sama ada tulus dari 'hati kecil' , atau hadir dari 'hati besar' .

Yang selalu berbohong adalah hati besar kita sendiri, yang mana tiap jawapannya mengenai nilaian diri adalah mengikut kehendak keinginan kita sendiri. Janganlah kita menganggap diri 'sangat bagus' bahkan riak serta kabur dari kelemahan diri. Ini membantutkan proses islah diri.

Adapun 'hati kecil' akan memberi tanggapan 'kerdil' pada empunya hati itu. Lalu rasa tidak mampu itu dipasak dengan iltizam terus berusaha di sebalik sedarnya ia akan hakikat dan kelemahan dirinya.

Berbalik kepada cerminan orang sekeliling terhadap diri kita itu, adapun persepsi orang banyak dan orang soleh itulah yang melambangkan diri kita sebenarnya. Manakala semata-mata persepsi kita terhadap diri sendiri hanya menambah beku dan jumud proses islah diri. Masakan tidak, andai hanya menganggap diri terlalu bagus tanpa perlu islah; atau terlalu menghina diri tanpa nasihat dan tunjuk ajar untuk perbaiki.

Manusia Mempunyai Aqal

Kelebihan manusia itu pada akalnya. Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup. Bertambah luasnya hidup, maka bertambahlah kebahagiaannya. Mulakan hari-hari anda dengan ceria, supaya anda berasa lebih bersedia menghadapi cabaran sepanjang hari itu serta bebas tekanan. Maka boleh dikatakan, ceria di awal hari itu suiz minda atau akal dalam diri manusia. Adapun ceria itu, tidak lain datang dari tenangnya diri kerana pergantungan kita pada Ilahi. Manakala keceriaan yang datang selain dari pergantungan ini adalah keceriaan yang terpaksa dan lakonan semata.

'Nak ke tak nak?' jawapannya dalam diri anda. Persoalan itu adalah suatu pilihan sebenarnya. Tips buat anda: apabila anda benar memahami dan menghayati amanah dan tugas yang terletak di pundak bahu, maka meski 'taknak' itu ingin dipilih, namun diri tetap mengharungi.

Boleh juga dikatakan suiz pada manusia itu adalah iltizam, kehendak, hasrat, sasaran dan target dalam kehidupan. Suiz ini dapat membantu anda terus istiqamah menjalani penghidupan demi mencapai sasaran tersebut, tidak lain adalah hidup dan mati dalam Islam.-


-Al-fadhil Al-ustaz Mohd Mumtaz b Harun; Syariah Islamiah (Tahun 4), Universiti AlAzhar ; Penasihat Dewan Perwakilan Mahasiswa Zaqaziq (DPMZ)

- Kesimpulan dan cernaan dari slot motivasi beliau yang telah disampaikan Jumaat, 2 April 2009