بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah, kita panjatkan syukur kepada Allah di atas nikmatNya yang masih lagi Dia sudi untuk pinjamkan kepada kita. Antara nikmat yang perlu kita syukuri adalah kesempatan yang diberi olehNya kepada kita, iaitu dapat lagi bertemu dengan bulan yang mulia.
Ya, tak lain dan tidak bukan, sedar atau tidak, kita sedang berada di dalam bulan Rajab. Rajab adalah nama bagi bulan yang ketujuh dalam kitaran kalendar hijriah. Bulan Rajab adalah antara bulan-bulan yang penuh dengan kelebihan dan kemuliaan.
Bulan haram
Firman Allah S.W.T yg bermaksud:
. Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram . Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.Dalam ayat di atas, Allah memberitahu kepada kita tentang bilangan bulan dalam setahun, iaitu sebanyak dua belas bulan.Sesungguhnya bilangan ini telah diatur dan ditetapkan oleh Allah mengikut ketetapan putaran bulan sepertimana yang kita ketahui hari ini. Daripada bilangan 12 bulan itu, empat daripadanya diisytihar sebagai bulan Haram oleh Allah.
(surah At-Taubah : 36)
Bulan-bulan tersebut ialah tiga bulan yang berturutan iaitu bulan ZulQaedah, ZulHijjah dan bulan Muharram. Manakala bulan yang satu lagi iaitu bulan Rajab.
Apakah yang dimaksudkan dengan bulan Haram?

Bulan Haram bererti Bulan yang mempunyai Kehormatan dan dimuliakan oleh Allah. Ianya diberi keistimewaan oleh Allah berbeza daripada bulan-bulan yang lain. seperti yang kita tahu, Allah berhak dan berkuasa memberi kemuliaan bagi mana-mana makhluknya yang Dia kehendaki sepertimana dia telah memuliakan dan memberi kelebihan kepada para nabi yang terpilih daripada kalangan manusia-manusia lain. Begitu juga halnya dengan masa dan tempat.
Diperingatkan kepada kita bahawa pada bulan haram ini, kita perlu menjaga diri kita dan tidak menzaliminya. Ini kerana dinyatakan kepada kita bahawa sebarang perbuatan maksiat padanya akan mendapat azab yang lebih dahsyat, dan amalan taat akan diberi ganjaran yang lebih besar. Larangan daripada melakukan perbuatan haram pada bulan ini, sekalipun tetap haram pada bulan-bulan yang lain,namun, Allah telah mengeraskan lagi tegahan pada bulan haram kerana nilai kemuliaan yang ada pada bulan ini.
Isra' dan Mi'raj.
Selain daripada kelebihan kemuliaan, bulan Rajab juga istimewa kerana sempat terakamnya beberapa peristiwa besar dalam Islam antaranya ialah Isra’ dan Mi’raj.
Peristiwa ini begitu besar sehinggakan Allah merakamkannya di dalam Al-Quran. Iaitu pada ayat pertama dari Surah Al-Isra’. Dalam peristiwa ini, nabi kita SollaLlahu 'Alaihi Wasallam telah diperjalankan oleh Allah pada waktu malam dari MasjidilHaram terus ke MasjidilAqsa. Kemudian Baginda telah dibawa naik ke langit untuk menerima kewajipan rukun Islam yang kedua.
Perang Tabuk.
Bulan Rajab juga turut sempat merakamkan satu peperangan besar dalam sejarah Islam. Perang Tabuk telah menyaksikan betapa para sahabat diuji kekentalan iman mereka. Tahap ketaatan mereka terhadap seruan jihad betul-betul teruji.Ini kerana, semboyan peperangan dibunyikan di kala penduduk Madinah mengalami musim panas dan musim buah yang menyeronokkan.
Plot-plot penting dalam peperangan ini turut terakam dalam kitab Al-Quran antaranya, mengenai suasana peperangan, pendedahan kejahatan kaum munafiqin, kelebihan golongan yang berjihad dan ikhlas, penerimaan taubah terhadap mereka yang beriman dan tulus, juga mengenai mereka yang menyertai peperangan dan yang menarik diri
Pengiktirafan
Maka, tidak hairanlah mengapa bulan Rajab dipandang besar di sisi syara’. Dalam sebuah hadith yang dikategorikan Dhoif , Nabi bersabda:
“Rajab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku, dan Ramadhan bulan ummatku.”Dan begitu juga hadith2 lain yang menyebut tentang kelebihan beramal dalam bulan Rajab.
Akhirnya, marilah kita sama-sama mempertingkatkan amalan kita terutama pada bulan-bulan yang mulia ini, di samping menjaga perkara-perkara fardhu yang wajib kita tunaikan. Mudah-mudahan kita juga sempat dipertemukan oleh Allah dengan penghulu segala bulan iaitu Ramadhan yang penuh keberkatan.
“ Ya Allah, berkatilah kami di sepanjang bulan Rajab dan Sya’ban, kurniakanlah kami untuk sampai bertemu bulan Ramadhan.”