Tuesday, March 30, 2010

Adakah saya di jalan yang betul??

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : Ustazah Zakiatun Nazneen Bt. Abdul Hannan

Assalamualaikum dan salam wehdah

Rakan sekalian, syarat diterimanya amalan itu sebagai ibadah hanya dua:

1. Niat yang ikhlas kerana ALLAH Ta'ala

2. Pelaksanaan gerak kerja yang betul menepati syariat Allah


Niat Yang Ikhlas

Siapalah kita untuk menilai keikhlasan diri. Masakan tidak, sedang diri yang lemah ini sudahlah malas, malah bersungut pula. Di manakah ikhlas? Ikhlas itu ibarat semut hitam, di atas batu hitam, dalam hitam pekatnya malam.

Nak tunggu ikhlas baru nak beramal? Tunggulah hingga Kiamat andai itu yang dipingin. Jadi bagaimana? Harus 'terpaksa' untuk melaksana amanah? Ya, andai keterpaksaan itu didahului akan kefahaman peri pentingnya pelaksanaan taklifan itu, pasti diri akan 'terpaksa' dengan rela hati, pasti akan dating sabar dalam diri, pasti akan datang manis pada jalan yang berduri, inshaALLAH

((Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar))
Dan bila begitu, siapa tahu, keikhlasan akan dating dalam senyap, ibarat semut hitam itu tadi. Jadi fahamilah, amanah anda itu tidak sia-sia. Pasti ada buahnya. Mulakan langkah anda dengan niat yang baik dan kefahaman!


Gerak Kerja Yang Syarie

Bijak sana lah ketika melangkah, pastikan panduan Al-Quran dan As-Sunnah tidak terlepaskan. Di samping kita menepati syariatuLLAH, jangan kita lupa pada sisi sunnatuLLAH. Fitrah insaniah yang ada dalam setiap diri, pasti pelbagai rencam dan warna-warni. Jalankan tugasmu dengan hikmah! Nikmati hidup dalam kanvas penuh warna ini, walau diri kadang-kala dipalit warna yang bukan kegemaran.



Bagaimanakah cara untuk kita ketahui samaada gerak kerja ini syarie atau tidak? Maka bandingkan jalan kita itu dengan jalan serba liku sirah nabawiah. Andai sama lagi serupa, maka anda di jalan yang benar, inshaALLAH. Jelasnya, andai jalan RasuluLLAH dan para sahabat itu penuh ranjau, maka janganlah bersedih andai jalanmu jua dipenuhi ranjau. Bahkan bergembiralah, kerana dirimu kini di atas jalan yang pernah dilalui Para Nabi, Rasul, dan mereka yang soleh.

Sekian, selamat menikmati jalan penuh duri!

Mafhum Al-Hadis:
Dunia itu syurga yang kafir, dan penjara yang mukmin


"Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang benar yang dilalui oleh orang2 yang Kau beri nikmat ke atas mereka, bukannya jalan orang2 yang Kau murkai dan bukan juga jalan orang2 yang sesat"

Friday, March 26, 2010

Hargailah Masa...!!! (1)

بسم الله الرحمن الرحيم


Masa = waktu = detik = ketika = zaman = tempoh = saat = As-Sa'ah = Al-Dahr = Al-Waqt = Al-'asr = Az-Zaman = time = second... Dan lain-lain perkataan yang sama maksud dengannya.

Masa adalah begitu sinonim dengan hidup manusia...
Al-Waqtu huwalhayah... Masa itu adalah kehidupan... Time is the whole of this life...




Manusia yang pintar dan waras pasti dapat mengetahui betapa bernilainya setiap detik masa yang berlalu dalam hidupnya. Melalui pengetahuan mereka tentang peri pentingnya masa, maka lahirlah pelbagai ungkapan...

Pepatah Melayu ada mengatakan ..." Masa itu emas"... disebut juga dalam pepatah Arab... " Al-Waqtu KasSaif......" dan banyak lagi kata-kata yang lain.

Agama Islam yang telah Allah 'gazet'kan untuk menjadi laluan dan landasan hidup manusia lebih-lebih lagi begitu menitikberatkan tentang nilai serta kepentingan masa dalam hidup setiap insan. Hal ini dapat kita perhatikan melalui wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada kita. Dalam Al-Quran terdapat satu surah khusus yang dinamakan dengan masa iaitu Surah Al-'asr...

Firman Allah Ta'ala dalam surah tersebut yang bermaksud :

Demi MASA! {1} Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian {2} kecuali orang-orang yang beriman, dan berbuat amal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran {3}.


Lihat bagaimana Allah memperuntukkan satu surah khusus untuk menyatakan tentang kepentingan masa, lalu mengajarkan hamba-hambaNya bagaimana selayaknya masa itu diaplikasikan...Subhanallah!

Surah ini merupakan antara surah yang terpendek yang terdapat dalam Al-Quran yang mulia. Ianya juga menjadi antara surah yang mudah dibaca dan dihafaz. Sungguhpun begitu, kandungan dan intipati yang terdapat di dalamnya sudah cukup membuatkan kita menginsafi tentang nilai masa yang begitu bernilai.

Lihat sahaja uslub,gaya bahasa yang Allah sampaikan dalam ayat-ayat tersebut yang tak dapat untuk kita sebutkan secara 'detail' di sini.

Masa adalah antara makhluk yang Allah jadikan mengiringi kehidupan manusia. Ianya mempunyai sifat yang begitu unik yang tidak dapat untuk kita ungkapkan. Kita tak dapat nak gambarkan bagaimana rupa bentuk dan keadaan masa secara sebenarnya. Ini kerana masa merupakan satu gambaran yang hanya di'setting' di dalam minda tanpa dapat diterjemahkan dalam bentuk objek (zatiy).

Walau bagaimanapun masa itu tetap wujud,sentiasa mengiringi dan melengkapkan perjalanan hidup kita. Kedua-duanya saling beriringan... saling melengkapi... tak dapat dipisahan...seperti irama dan lagu ataupun nyawa dengan jasad yang hidup....Subhanallah, unik!



Meskipun begitu, ramai di kalangan makhluk yang dinamakan manusia (termasuk kita) seringkali lupa, terlupa,melupai, dilupakan tentang nikmat kurniaan Allah yang begitu besar ini.

'Robbana la tu'akhiznaa in nasina au akhto'na.."

Kalau kita cuba kaji, tadabbur, perhatikan dan bincangkan tentang apa yang terdapat dalam wahyu Allah tadi, kita akan dapati antaranya :

(1) Allah ta'ala mengingatkan kita tentang kepentingan masa.

(2) Allah Ta'ala memberitahu kita golaongan-golongan yang bijak dan tak rugi dalam menggunakan nikmat masa.

(3) Allah mengajar kita bagaimana untuk kita mempergunakan nikmat masa dengan sewajarnya.

(4) Budaya ingat-mengingatkan adalah begitu penting untuk diamalkan dalam setiap lapangan hidup supaya kita tak terjerumus dalam lembah
kerugian dan kebinasaan.

Dan banyak lagi intipati dan pengajaran dalam surah tersebut yang tak mampu untuk kita singkapkandan ungkapkan.

'Ya Allah, jangan Kau jadikan kami di kalangan orang-orang yang rugi di dunia ini, lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Jadikanlah bagi setiap kelalaian kami itu peringatan dan pemeliharaan daripadaMu"

Thursday, March 18, 2010

Komen Pengunjung..

بسم الله الرحمن الرحيم


Terima kasih kepada peminat blog yang sudi singgah menjenguk ke blog ini. Alhamdulillah, kehadiran anda merancakkan lagi dan menyerikan lagi laman kami. Tidak lupa juga kepada yang sudi memberi komen dan ulasan berguna.

Antara cadangan yang kami terima ialah supaya setiap hadith yang didatangkan dalam penulisan kami,disertakan juga periwayat hadithnya. Begitu juga dengan hal kedudukan ataupun martabat hadith yang kami siarkan.



Terima kasih diucapkan saudara kami yang begitu peka dan ihtimam dengan perkara ini. Beliau menyatakan bahawa sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir manusia yang suka mempertikai dan mempersoal tentang kedudukan sesuatu hadith.

Ya, ada benarnya dakwaan dan kenyataan beliau ini. Rata-rata di kebanyakan tempat termasuk negara Malaysia tercinta juga wujud fenomena seperti ini. Lebih malang lagi ada yang menyatakan bahawa mereka hanya inginkan hadith yang sohih sahaja dan tidak yang dhoif sedangkan hadith yang dhoif juga ada hukum dan kedudukannya yang tersendiri.

Apapun kita hanya bersangka baik bahwa mereka cuba untuk menjaga kejernihan dalam penyampaian ajaran agama.

Ilmu Mustolahilhadith...

Disana terdapat satu ilmu khusus yang membincangkan berkenaan dengan hakikat pengriwayatan, syarat2nya, jenis2 (pembahagian)nya, hukum2nya, latar belakang perawinya, syarat2 mereka, dan lain-lain lagi yang berkaitan sanad dan matan hadith.

Ilmu ini dinamakan ilmu mustolah al-hadith,ataupun ilmu usul al-hadith, ataupun ilmu usul riwayatil-hadith, ataupun mustolah ahlil-atsar,ataupun ilmu ar-rijal, ilmu al-isnad, ataupun ulumul-hadith.

Ilmu ini memang menunjukkan ketelitian, kesungguhan, kepakaran dan ketinggian peduli para ulama' dalam menjaga mutiara-mutiara kalam dan uswah yang telah terbit daripada penghulu sekalian makhluk, nabi Muhammad SollaLlahu 'Alaihi Wasallam . Mereka telah membahaskan dan membincangkan dengan penuh adab dan disiplin yang tinggi terhadap sumber rujukan kedua syariat Islamiah ini.

Ilmu ini juga boleh disifatkan sebagai ilmu yang agak rumit dan memerlukan pemerhatian yang mendalam. Para ulama' memang benar-benar peka dalam memelihara pusaka daripada baginda SollaLlahu 'Alaihi Wasallam. Hal ini begitu menakjubkan dan tidak terdapat dalam mana-mana ilmu lain sehingga melahirkan kekaguman dan ketakjuban di kalangan orang-orang Barat termasuk ilmuwan mereka.

Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan dalam muqaddimah sebelum ni, bahawa kami cuba untuk meringankan dan mendatangkan bahan yang mudah buat para pembaca, seterusnya cuba mengelak daripada menyentuh perbahasan yang berat dan payah.

Di luar sana terdapat sumber-sumber lain yang lebih terperinci mengenai keterangan sesuatu hadith yang boleh dirujuk oleh pembaca.

Pun begitu, kami akan menjaga segala dalil ataupun sandaran sesuatu bahan yang kami hidangkan. Semoga anda terus bersama kami dalam sama-sama menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakat.

"Ya Allah, ajarkanlah kepada kami tentang kebenaran, hidupkan kami atas landasan kebenaran dan jadikanlah kami antara orang-orang yang berpegang dengan kebenaran. Jangan biarkan kami dalam kesesatan tanpa menemui kebenaran..."Ameen.

Friday, March 12, 2010

Patahnya sukar nak tumbuh semula, hilangnya susah nak ganti...

بسم الله الرحمن الرحيم


Itulah gambaran yang dapat diberikan bagi pemergian seorang lagi ulama' yang telah dipanggil menghadap ALLAH kelmarin. Seorang demi seorang pewaris nabi yang pergi meninggalkan kita.

Mereka inilah tunggak ataupun pihak yang menjadi rujukan utama Umat Islam selepas nabi Muhammad SollaLlahu 'Alaihi Wasallam meninggalkan kita sejak 1400 tahun yang lalu.

Daripada satu petikan sabda baginda, yang diriwayatkan daripada Abi AdDarda' RodhiyAllahu 'anhu, yang bermafhum:

((...dan kelebihan seorang alim itu atas seorang abid..bagaikan sinar bulan mengatasi semua bintang-bintang, dan sesungguhnya ulama' itu adalah pewaris para nabi, dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, dan hanyasanya mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa mengambilnya.. bererti dia telah mendapatkan bahagian yang besar))


Para nabi yang terdahulu termasuklah nabi Muhammad, alaihimussolatu wassalm, tidaklah mewariskan kepada umat manusia yang selepas mereka harta dan kekayaan, tetapi ilmu dan perjuangan. Menunjukkan kepada kita bahawa harta dan apa jua bentuk kesenangan semata-mata bukanlah menjadi penjamin kebahagian hidup di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

Jadi, pedoman sebenar hidup manusia sepertimana yang disebut dalam hadith adalah ilmu. Dan ilmu yang benar-benar dapat jamin keselamatan manusia ialah ilmu yang diturunkan oleh ALLAH iaitu wahyu samada yang datang dalam bentuk ajaran diajarkan oleh para nabi ataupun dalam bentuk kitab suci.

Semua para utusan Allah memainkan peranan yang sama iaitu mengajak manusia supaya tunduk dan menyembah tuhan yang esa. Daripada nabi Adam 'alihissalam sampailah kepada nabi terakhir alaihimussolatu wassalm, semuanya menyampaikan mesej yang sama. Begitu juga wahyu Allah yang berupa mushaf-mushaf dan kitab-kitab suci semuanya mencatatkan slogan dan mesej yang sama.

Kitab-kitab Allah yang suci, semuanya diturunkan kepada para utusan terpilih melalui malaikat Jibril 'alaihissalam, sehinggalah kitab yang terakhir, Al-Quran, yang dijaga daripada sebarang pengkhianatan. Seluruh yang terdapat dalam kitab tersebut diketahui isi kandungannya oleh nabi yang menerima kitab. Kemudiannya, Nabi akan sampaikan dan ajarkan kepada ummat baginda dengan penerangan yang jelas samada melalui bentuk teori mahupun praktikalnya.

Mafhum daripada satu Hadith Nabi SollaLlahu 'Alaihi Wasallam :

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara (sebagai pusaka), selagimana kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tidak akan sesat : iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku"

Oleh yang demikian, untuk mendapatkan kebenaran hakiki, tidak dapat tidak, kita kenalah berpegang dengan apa yang nabi pusakakan. Tetapi Al-Quran dan AsSunnah tidaklah boleh difahami dan ditafsirkan sewenang-wenangnya.Ini kerana ia akan membawa kepada pentafsiran yang pelbagai mengikut nafsu dan akal yang terbatas. bahkan akan membawa kerosakan dalam hidup manusia.

Nah, tak lain dan tak bukan satu-satu caranya adalah melalui golongan yang mempunyai kepakaran dalam perkara ini. Mereka yang berkelayakan dan menguasai bidang agama sahaja yang boleh dijadikan rujukan untuk menggali dan mengetahui isi kandungan Al-Quran. Mereka inilah yang kita panggil ulama yang menjadi pewaris nabi.

Padamnya Pelita Ummah

Ulama, sepertimana kita sebutkan tadi, merupakan sumber penyuluh hidup manusia. Jasa dan sumbangan mereka dalam menyebarkan ilmu dan ajaran yang dibawa oleh nabi begitu besar maknanya. Pemergian mereka adalah tanda kegelapan.

Hari ini, kalau kita kehilangan seorang doktor perubatan ataupun jurutera yang terkenal, ratusan manusia lain yang boleh menggantikan tempat mereka. Sebaliknya, hal seperti ini seolah-olah tidak mahu ditiru bagi kehilangan sebutir mutiara ummat. Menggantikan keilmuan dan kehebatan seorang yang digelar ulama adalah amat payah untuk dipikul.

Dan ketahuilah bahawasanya akan sampai satu masa, Allah akan mengangkat ilmu yang benar daripada manusia.

Mafhum daripada hadith nabi SollaLlahu 'Alaihi Wasallam:

" Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada manusia dengan cabut begitu sahaja,bahkan Dia mencabutnya dengan mematikan para ulama..sehinggalah tiada seorang alim pun yang tinggal..maka manusia akan melantik ketua-ketua daripada kalangan yang jahil, mereka ditanya (diminta pandangan) maka mereka pun memberi fatwa tanpa ilmu, lalu mereka itu telah sesat lagi menyesatkan."

Marilah kita sama-sama mengambil istifadah dan ilmu daripada ulama yang masih ada. Kalaupun tak dapat menjadi seperti mereka, dapat berhubung,berkhidmat dan menceduk setitis ilmu dengan mereka pun, jadilah.Kita pohon kepada Allah akan perlindungan daripada sebarang kejahilan dan kesesatan.




Kita berdoa agar Allah merahmati ruh Almarhum SyaikhulAkbar Dr. Muhammad Sayyid Tantawi,dan ditempatkan bersama para ambiya' ,siddiqin,syuhada' dan solihin, semoga ALLAh memberi ganjaran yang selayaknya di atas jasa-jasa dan sumbangan yang beliau tabur untuk ummat.

"Ya Allah, berkatilah ilmu kami dan ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat. ajarkanlah kepada kami kehendak dan tuntutan yang sebenar daripada KitabMU. dan jadikanlah kami di kalangan orang yang berpegang dengan kitabMu dan Sunnah RasulMu..."

Wednesday, March 10, 2010

Rabithoh

Oleh: Dr. Muhammad Afiq B Kamaruzzaman

bismillah walhamdulillah

segala puji bagi ALLAH, Rabb yang menguasai alam dan hati-hati manusia

selawat dan salam kepada junjungan besar, penutup segala nabi, Muhammad S.A.W, yang telah menunjukkan kita jalan mengenal Tuhan yang menciptakan kita, yang memberi kita kehidupan dan yang akan mengadili kita kelak.

selawat dan salam juga kepada para generasi awwaluun yang telah menunjukkan kita sebaik-baik contohan, pengorbanan yang tiada banding, ikatan persaudaraan yang paling hangat sehingga menjadikan merekalah generasi yang terbaik yang pernah di lahirkan.

selawat dan salam juga kepada seluruh manusia yang menerima risalah kebenaran ini hingga ke penghujung zaman.


ikhwani fillah,

moga dalam kesempatan pertemuan kita ini adalah pertemuan iman, kerana takutkan ALLAH dan cintakan kepada Sang Rasul, dan akhirnya membuahkan amal-amal yang soleh sebagai bukti yang kukuh di hadapan ALLAH di padanag mahsyar nanti dan bukannya berakhir dengan nafsu serta kemurkaan ALLAH kepada kita

mudah-mudahan di hujung perjalanan nanti, ia mampu mengantarkan kita menggapai syurga ALLAH azza wa jalla



Tuesday, March 9, 2010

muqaddimah


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، و به نستعين، على أمور الدنيا و الدين، والصلاة والسلام على الرسول الأمين،و إمام المتقين، و سيد الأنبياء والمرسلين،و على آله الطاهرين،و أصحابه المرتضين، و من تبعهم بإحسان إلى يوم الدين

Segala puji dan puja selamanya hanya layak bagi ALLAH, Pencipta seluruh alam, hanya Dia yang layak disembah, tiada sekutu bagiNya.Setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepadaNya di atas segala nikmat kurniaanNya daripada sebesar-besar nikmat sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya.
Selawat dan salam kepada junjungan besar, penghulu sekalian utusan, kekasih yang agung, Nabi kita Muhammad, yang diutus sebagai rahmat sekalian alam. Baginda telah menyampaikan risalah petunjuk dan kebenaran yang akan menyelamatkan manusia dengan sebaiknya,
Seterusnya kepada ahli keluarga baginda yang suci dan para sahabat yang sentiasa benar dan diredhai serta semua yang mengikut, menyokong,serta meneruskan perjuangan baginda dengan penuh tulus dan setia hinggalah ke hari pembalasan kelak.

ALLAH Taala berfirman yang bermaksud:

Bacalah olehmu(wahai Muhammad) dengan nama Rabb-mu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Rabb-mulah Yang Maha Mulia,Pemurah. Yang mengajarkan ( manusia ) dengan Qalam. Dia telah mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahui.


Nabi sollallahu'alaihi wa sallam ada bersabda yang mafhumnya::

Kebijaksanaan (ilmu) adalah barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, di mana saja dia temuinya dialah yang lebih berhak (mengutipnya).


Ikwani Fillah!,

Menyedari tentang kepentingan penguasaan ilmu serta penyebarannya, kami cuba untuk sama-sama menyertai bidang ini dengan seadanya. Selari dengan kemajuan global yang sedang rancak mara dan kecanggihan teknologi yang turut pesat dibiakkan oleh ahli-ahli ilmu, kami seolah-olah tidak mahu ketinggalan dalam arena ini.

Oleh itu kami ingin mengambil kesempatan dengan kemudahan yang semakin mudah ini, untuk mengaplikasi dengan sebaiknya apa jua bentuk pengisian yang dapat kami persembahkan untuk sama-sama menyemarakkan lagi penyebaran ilmu dan seterusnya membangkitkan kelekaan ummat.

Bidang penulisan khususnya, adalah satu bidang yang tidak wajar dipandang remeh. beberapa sejarah silam memaparkan kepada kita bahawa bidang penulisan memberi sumbangan besar dalam menggerakkan yang 'kaku' dan menyedarkan akan yang alpa. Ia juga telah menjadi perantaraan penting antara manusia.

Di ruangan maya ini, kami Nuqaba' BKKIMM akan cuba menghidangkan beberapa hasil nukilan kecil yang sesuai untuk kita kongsikan. Ini semua adalah mengikut kemampuan yang ALLAH berikan kepada kami. Tidak dinafikan juga akan terdapat kekurangan dan kelemahan dalam persembahan kami. Kami juga cuba untuk mengelakkan daripada menyentuh isu-isu berat dan sensitif melainkan jika perlu. begitu juga perkara-perkara perselisihan yang bersifat merosakkan.

Sebarang teguran dan kritikan yang membina amatlah dialu-alukan.

Semoga usaha kecil ini dipandang di sisi ALLAH Taala sebagai amal soleh yang diredhai olehNya.KepadaNya sajalah kami berserah.

Ya ALLAH, ampunkanlah segala dosa, dan salahsilap kami samada yang sengaja ataupun tidak disengajakan. dosa ibubapa, guru2 dan semua yang nenyayangi kami, serta seluruh ummat Islam.....

Ya ALLAH, kurniakanlah kami ikhlas,Sidq dalam segala perbuatan dan perkataan kami. jadikanlah kami istiqamah dengan perjuangan kebenaran, bantulah kami menggapai cinta dan redhaMu, berkatilah segala yang Kau kurniakan kepada kami dan rahmatilah kami serta seluruh makhluk yang Kau kehendaki... Ameen...