Thursday, March 18, 2010

Komen Pengunjung..

بسم الله الرحمن الرحيم


Terima kasih kepada peminat blog yang sudi singgah menjenguk ke blog ini. Alhamdulillah, kehadiran anda merancakkan lagi dan menyerikan lagi laman kami. Tidak lupa juga kepada yang sudi memberi komen dan ulasan berguna.

Antara cadangan yang kami terima ialah supaya setiap hadith yang didatangkan dalam penulisan kami,disertakan juga periwayat hadithnya. Begitu juga dengan hal kedudukan ataupun martabat hadith yang kami siarkan.



Terima kasih diucapkan saudara kami yang begitu peka dan ihtimam dengan perkara ini. Beliau menyatakan bahawa sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir manusia yang suka mempertikai dan mempersoal tentang kedudukan sesuatu hadith.

Ya, ada benarnya dakwaan dan kenyataan beliau ini. Rata-rata di kebanyakan tempat termasuk negara Malaysia tercinta juga wujud fenomena seperti ini. Lebih malang lagi ada yang menyatakan bahawa mereka hanya inginkan hadith yang sohih sahaja dan tidak yang dhoif sedangkan hadith yang dhoif juga ada hukum dan kedudukannya yang tersendiri.

Apapun kita hanya bersangka baik bahwa mereka cuba untuk menjaga kejernihan dalam penyampaian ajaran agama.

Ilmu Mustolahilhadith...

Disana terdapat satu ilmu khusus yang membincangkan berkenaan dengan hakikat pengriwayatan, syarat2nya, jenis2 (pembahagian)nya, hukum2nya, latar belakang perawinya, syarat2 mereka, dan lain-lain lagi yang berkaitan sanad dan matan hadith.

Ilmu ini dinamakan ilmu mustolah al-hadith,ataupun ilmu usul al-hadith, ataupun ilmu usul riwayatil-hadith, ataupun mustolah ahlil-atsar,ataupun ilmu ar-rijal, ilmu al-isnad, ataupun ulumul-hadith.

Ilmu ini memang menunjukkan ketelitian, kesungguhan, kepakaran dan ketinggian peduli para ulama' dalam menjaga mutiara-mutiara kalam dan uswah yang telah terbit daripada penghulu sekalian makhluk, nabi Muhammad SollaLlahu 'Alaihi Wasallam . Mereka telah membahaskan dan membincangkan dengan penuh adab dan disiplin yang tinggi terhadap sumber rujukan kedua syariat Islamiah ini.

Ilmu ini juga boleh disifatkan sebagai ilmu yang agak rumit dan memerlukan pemerhatian yang mendalam. Para ulama' memang benar-benar peka dalam memelihara pusaka daripada baginda SollaLlahu 'Alaihi Wasallam. Hal ini begitu menakjubkan dan tidak terdapat dalam mana-mana ilmu lain sehingga melahirkan kekaguman dan ketakjuban di kalangan orang-orang Barat termasuk ilmuwan mereka.

Namun begitu, seperti yang telah dinyatakan dalam muqaddimah sebelum ni, bahawa kami cuba untuk meringankan dan mendatangkan bahan yang mudah buat para pembaca, seterusnya cuba mengelak daripada menyentuh perbahasan yang berat dan payah.

Di luar sana terdapat sumber-sumber lain yang lebih terperinci mengenai keterangan sesuatu hadith yang boleh dirujuk oleh pembaca.

Pun begitu, kami akan menjaga segala dalil ataupun sandaran sesuatu bahan yang kami hidangkan. Semoga anda terus bersama kami dalam sama-sama menghidupkan budaya ilmu dalam masyarakat.

"Ya Allah, ajarkanlah kepada kami tentang kebenaran, hidupkan kami atas landasan kebenaran dan jadikanlah kami antara orang-orang yang berpegang dengan kebenaran. Jangan biarkan kami dalam kesesatan tanpa menemui kebenaran..."Ameen.

No comments:

Post a Comment