بسم الله الرحمن الرحيم
Itulah gambaran yang dapat diberikan bagi pemergian seorang lagi ulama' yang telah dipanggil menghadap ALLAH kelmarin. Seorang demi seorang pewaris nabi yang pergi meninggalkan kita.Mereka inilah tunggak ataupun pihak yang menjadi rujukan utama Umat Islam selepas nabi Muhammad SollaLlahu 'Alaihi Wasallam meninggalkan kita sejak 1400 tahun yang lalu.
Daripada satu petikan sabda baginda, yang diriwayatkan daripada Abi AdDarda' RodhiyAllahu 'anhu, yang bermafhum:
((...dan kelebihan seorang alim itu atas seorang abid..bagaikan sinar bulan mengatasi semua bintang-bintang, dan sesungguhnya ulama' itu adalah pewaris para nabi, dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar ataupun dirham, dan hanyasanya mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa mengambilnya.. bererti dia telah mendapatkan bahagian yang besar))
Para nabi yang terdahulu termasuklah nabi Muhammad, alaihimussolatu wassalm, tidaklah mewariskan kepada umat manusia yang selepas mereka harta dan kekayaan, tetapi ilmu dan perjuangan. Menunjukkan kepada kita bahawa harta dan apa jua bentuk kesenangan semata-mata bukanlah menjadi penjamin kebahagian hidup di dunia apatah lagi di akhirat kelak.
Jadi, pedoman sebenar hidup manusia sepertimana yang disebut dalam hadith adalah ilmu. Dan ilmu yang benar-benar dapat jamin keselamatan manusia ialah ilmu yang diturunkan oleh ALLAH iaitu wahyu samada yang datang dalam bentuk ajaran diajarkan oleh para nabi ataupun dalam bentuk kitab suci.
Semua para utusan Allah memainkan peranan yang sama iaitu mengajak manusia supaya tunduk dan menyembah tuhan yang esa. Daripada nabi Adam 'alihissalam sampailah kepada nabi terakhir alaihimussolatu wassalm, semuanya menyampaikan mesej yang sama. Begitu juga wahyu Allah yang berupa mushaf-mushaf dan kitab-kitab suci semuanya mencatatkan slogan dan mesej yang sama.
Kitab-kitab Allah yang suci, semuanya diturunkan kepada para utusan terpilih melalui malaikat Jibril 'alaihissalam, sehinggalah kitab yang terakhir, Al-Quran, yang dijaga daripada sebarang pengkhianatan. Seluruh yang terdapat dalam kitab tersebut diketahui isi kandungannya oleh nabi yang menerima kitab. Kemudiannya, Nabi akan sampaikan dan ajarkan kepada ummat baginda dengan penerangan yang jelas samada melalui bentuk teori mahupun praktikalnya.
Mafhum daripada satu Hadith Nabi SollaLlahu 'Alaihi Wasallam :
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara (sebagai pusaka), selagimana kamu berpegang teguh dengannya, maka kamu tidak akan sesat : iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku"
Oleh yang demikian, untuk mendapatkan kebenaran hakiki, tidak dapat tidak, kita kenalah berpegang dengan apa yang nabi pusakakan. Tetapi Al-Quran dan AsSunnah tidaklah boleh difahami dan ditafsirkan sewenang-wenangnya.Ini kerana ia akan membawa kepada pentafsiran yang pelbagai mengikut nafsu dan akal yang terbatas. bahkan akan membawa kerosakan dalam hidup manusia.
Nah, tak lain dan tak bukan satu-satu caranya adalah melalui golongan yang mempunyai kepakaran dalam perkara ini. Mereka yang berkelayakan dan menguasai bidang agama sahaja yang boleh dijadikan rujukan untuk menggali dan mengetahui isi kandungan Al-Quran. Mereka inilah yang kita panggil ulama yang menjadi pewaris nabi.
Padamnya Pelita Ummah
Ulama, sepertimana kita sebutkan tadi, merupakan sumber penyuluh hidup manusia. Jasa dan sumbangan mereka dalam menyebarkan ilmu dan ajaran yang dibawa oleh nabi begitu besar maknanya. Pemergian mereka adalah tanda kegelapan.
Hari ini, kalau kita kehilangan seorang doktor perubatan ataupun jurutera yang terkenal, ratusan manusia lain yang boleh menggantikan tempat mereka. Sebaliknya, hal seperti ini seolah-olah tidak mahu ditiru bagi kehilangan sebutir mutiara ummat. Menggantikan keilmuan dan kehebatan seorang yang digelar ulama adalah amat payah untuk dipikul.
Dan ketahuilah bahawasanya akan sampai satu masa, Allah akan mengangkat ilmu yang benar daripada manusia.
Mafhum daripada hadith nabi SollaLlahu 'Alaihi Wasallam:
" Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada manusia dengan cabut begitu sahaja,bahkan Dia mencabutnya dengan mematikan para ulama..sehinggalah tiada seorang alim pun yang tinggal..maka manusia akan melantik ketua-ketua daripada kalangan yang jahil, mereka ditanya (diminta pandangan) maka mereka pun memberi fatwa tanpa ilmu, lalu mereka itu telah sesat lagi menyesatkan."
Marilah kita sama-sama mengambil istifadah dan ilmu daripada ulama yang masih ada. Kalaupun tak dapat menjadi seperti mereka, dapat berhubung,berkhidmat dan menceduk setitis ilmu dengan mereka pun, jadilah.Kita pohon kepada Allah akan perlindungan daripada sebarang kejahilan dan kesesatan.

Kita berdoa agar Allah merahmati ruh Almarhum SyaikhulAkbar Dr. Muhammad Sayyid Tantawi,dan ditempatkan bersama para ambiya' ,siddiqin,syuhada' dan solihin, semoga ALLAh memberi ganjaran yang selayaknya di atas jasa-jasa dan sumbangan yang beliau tabur untuk ummat.
"Ya Allah, berkatilah ilmu kami dan ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat. ajarkanlah kepada kami kehendak dan tuntutan yang sebenar daripada KitabMU. dan jadikanlah kami di kalangan orang yang berpegang dengan kitabMu dan Sunnah RasulMu..."
No comments:
Post a Comment