Tuesday, March 30, 2010

Adakah saya di jalan yang betul??

بسم الله الرحمن الرحيم

Oleh : Ustazah Zakiatun Nazneen Bt. Abdul Hannan

Assalamualaikum dan salam wehdah

Rakan sekalian, syarat diterimanya amalan itu sebagai ibadah hanya dua:

1. Niat yang ikhlas kerana ALLAH Ta'ala

2. Pelaksanaan gerak kerja yang betul menepati syariat Allah


Niat Yang Ikhlas

Siapalah kita untuk menilai keikhlasan diri. Masakan tidak, sedang diri yang lemah ini sudahlah malas, malah bersungut pula. Di manakah ikhlas? Ikhlas itu ibarat semut hitam, di atas batu hitam, dalam hitam pekatnya malam.

Nak tunggu ikhlas baru nak beramal? Tunggulah hingga Kiamat andai itu yang dipingin. Jadi bagaimana? Harus 'terpaksa' untuk melaksana amanah? Ya, andai keterpaksaan itu didahului akan kefahaman peri pentingnya pelaksanaan taklifan itu, pasti diri akan 'terpaksa' dengan rela hati, pasti akan dating sabar dalam diri, pasti akan datang manis pada jalan yang berduri, inshaALLAH

((Sesungguhnya ALLAH bersama orang-orang yang sabar))
Dan bila begitu, siapa tahu, keikhlasan akan dating dalam senyap, ibarat semut hitam itu tadi. Jadi fahamilah, amanah anda itu tidak sia-sia. Pasti ada buahnya. Mulakan langkah anda dengan niat yang baik dan kefahaman!


Gerak Kerja Yang Syarie

Bijak sana lah ketika melangkah, pastikan panduan Al-Quran dan As-Sunnah tidak terlepaskan. Di samping kita menepati syariatuLLAH, jangan kita lupa pada sisi sunnatuLLAH. Fitrah insaniah yang ada dalam setiap diri, pasti pelbagai rencam dan warna-warni. Jalankan tugasmu dengan hikmah! Nikmati hidup dalam kanvas penuh warna ini, walau diri kadang-kala dipalit warna yang bukan kegemaran.



Bagaimanakah cara untuk kita ketahui samaada gerak kerja ini syarie atau tidak? Maka bandingkan jalan kita itu dengan jalan serba liku sirah nabawiah. Andai sama lagi serupa, maka anda di jalan yang benar, inshaALLAH. Jelasnya, andai jalan RasuluLLAH dan para sahabat itu penuh ranjau, maka janganlah bersedih andai jalanmu jua dipenuhi ranjau. Bahkan bergembiralah, kerana dirimu kini di atas jalan yang pernah dilalui Para Nabi, Rasul, dan mereka yang soleh.

Sekian, selamat menikmati jalan penuh duri!

Mafhum Al-Hadis:
Dunia itu syurga yang kafir, dan penjara yang mukmin


"Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang benar yang dilalui oleh orang2 yang Kau beri nikmat ke atas mereka, bukannya jalan orang2 yang Kau murkai dan bukan juga jalan orang2 yang sesat"

No comments:

Post a Comment