Tuesday, April 13, 2010

Pilihlah Dengan Kebenaran.

بسم الله الرحمن الرحيم



Sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakan, segala tindakan kita perlulah dipastikan bahawa ianya tidak membawa kepada murka Allah.

Sepanjang hidup kita, setiap manusia itu akan menemui satu ketika yang sukar untuk memilih tindakan dan keputusan di depannya. Biasanya, tindakan tersebut melibatkan sesuatu yang besar seperti masa depan dirinya, keluarga, agama dan sebagainya. Ini adalah antara perkara yang menunjukkan betapa lemahnya manusia dan memerlukan pergantungan.

Salah satu daripada banyak-banyak perkara yang diajar dalam agama kita ialah cara ataupun langkah yang bijak dalam membuat keputusan.

Islam mengajar bahawa kita boleh membuat keputusan bagi satu-satu tindakan dengan melalui dua langkah:

(1) istisyarah
(2) istikharah


Langkah yang pertama yang boleh kita lakukan ialah dengan meminta petunjuk ataupun pandangan daripada orang-orang yang layak. Contoh orang-orang yang berkelayakan ialah guru-guru kita, murabbi, orang-orang alim,kedua ibu bapa, sahabat yang rapat dan jujur dengan kita.

Ceritakan gambaran sebenar tentang kebingungan kita, kemudian nyatakan pilihan yang berada di depan kita. Mintalah daripada mereka tentang pandangan yang terbaik.

Begitu juga dengan mesyuarat-mesyuarat yang dilakukan oleh mana-mana perkumpulan. Ianya juga termasuk dalam langkah istisyarah dengan cara berbincang dan bertukar pendapat. Lebih-lebih lagi keputusan yang ingin dicapai melibatkan maslahat umum.

Langkah yang kedua ialah dengan mengadu sendiri dengan tuhan yang mengatur alam ini. Ya, sudah tentulah Dia Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui segala-galanya, daripada yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya. Daripada yang tersembunyi hingga yang seterang-terangnya. Daripada perkara yang telah lalu, hinggalah perkara yang akan datang.

Mengadulah kepadaNya kerana Dia Maha Mendengar Lagi Maha Menolong. Caranya ialah dengan mendirikan solat sunat Istikharah. Selain itu kita juga perlulah banyak berdoa dan bersangka baik kepada Allah.

Ya Allah, kurniakan kami petunjuk ke jalan kebenaran dan juga taufiq untuk mengikuti jalan tersebut..

1 comment: